Logo Design

Pengenalan

Logo berada di mana mana. Kita melihat terlalu banyak logo setiap hari secara sedar atau tanpa sedar di media cetak, media elektronik, papan tanda, risalah hinggalah pada pakaian dan kasut yang dipakai. Ada logo yang kita ingat dengan jelas, ada juga yang agak kabur. Logo adalah antara bahagian penting dalam penjenamaan. Ia pengenalan awal kepada sesuatu syarikat atau produk. Ia selalu menjadi penampilan pertama (first impression) yang penting. Ia membawa mesej tertentu bagi syarikat atau produk! Tetapi jangan keliru, kerana Logo bukan “brand”. Jadi apakah sebenarnya logo itu?

Untuk memahami apa itu logo, anda mesti faham apa tujuan logo direka.

Logo adalah untuk… pengenalan.

Logo memperkenalkan syarikat, organisasi atau produk melalui penggunaan lambang, simbol, huruf, bendera atau tandanama (signature). Logo tidak menjual atau mempromosi syarikat atau produk secara langsung dan ia jarang sekali menerangkan sesuatu perniagaan.

Nilai (tanggapan umum) atau makna sebuah logo itu adalah dari kualiti sesuatu yang diwakilinya (syarikat atau produk) dan bukan sebaliknya. Jika sebuah syarikat itu teruk, maka buruklah tanggapan umum (nilai) terhadap logonya walaupun rupabentuk logo itu sangat hebat. 

Jika anda memiliki sebuah logo yang sangat cantik dan sempurna tetapi produk atau perkhidmatannya buruk, maka logo anda juga dipandang teruk. Kerana hakikatnya, nilai dan makna sebuah logo itu lebih utama dari rupabentuknya.

Namun begitu, rekabentuk logo yang baik adalah penting! Terutama dalam persaingan yang semakin hebat.

 

 

LOGO ADALAH PENGENALAN BUKAN PENERANGAN

Logo adalah pengenalan kepada organisasi atau individu, syarikat, produk ataupun perkhidmatan. Lihat logo yang terkenal dibawah. Logo mereka adalah pengenalan dan tidak menerangkan aktiviti perniagaan mereka dengan secara langsung:

  • Apple – Tiada imej computer atau telefon bimbit
  • Mercedes – Tiada imej kereta atau tayar
  • Lacoste – Tiada imej baju
  • Adabi – Tiada imej serbuk perasa
  • Bank Negara – Tiada imej duit
  • Maybank – Tiada imej duit

 

 

Dari maklumat yang diperolehi dari internet, dari 50 jenama terkemuka dunia, 94% logo mereka tidak menjelaskan perniagaan syarikat.

LOGO BERSERTA PENERANGAN

Kadang-kadang adalah mustahil untuk menggambarkan perniagaan dengan menggunakan satu imej (gambar/grafik). Tambahan pula jika syarikat menawarkan pelbagai jenis produk atau perkhidmatan. Jika logo anda dapat dibentuk menggunaan satu imej atau perkataan yang menjelaskan perniagaan atau produk, ia adalah satu bonus besar!

Sebagai contoh Am Bistro adalah sebuah perniagaan restoran (Mamak) dan ia menggunakan gambar seorang tukang masak dengan pinggan nasi. Logo ini tidak begitu ringkas, tetapi ia kategori yang menerangkan jenis perniagaan. Logo KindaBooks.com pula menggunakan buku-buku sebagai logonya dan jelas sekali ia menjelaskan perniagaan menjual buku. Lihat logo Railtech pula, ia ialah sebuah syarikat yang terlibat dalam industri rel dan keretapi moden. Huruf R digunakan bagi membentuk rel dan kepala keretapi.

Adalah suatu kelebihan terutamanya bagi syarikat kecil dan masih belum dikenali jika logonya dapat memberi gambaran perniagaan. Kerja mempromosi menjadi lebih mudah kerana logonya telah menceritakan kepakaran syarikat yang diwakili.

Am Bistro, KindaBooks dan Railtech rekaan WizanZaini.

Sekarang kita telah faham bahawa memasukkan imej atau gambar yang menerangkan sesuatu perniagaan bukanlah satu kemestian yang perlu dipenuhi. Kejayaan sesebuah logo bukan terletak di situ. Di kebanyakkan masa ia tidak boleh dilaksanakan terutama bagi sebuah syarikat yang terlibat dalam pelbagai jenis perniagaan atau berbilang produk.

Jika logo tidak menerangkan apa jenis perniagaan, apakah mesej yang perlu ada? Apa imej atau unsur  yang boleh digunakan? Ada yang menggunakan simbolik sesuatu perkara atau objek. Ada yang mengaitkan dengan sejarah, budaya dan sebagainya. Contohnya logo MAS yang menggunakan bentuk Wau Bulan sebagai simbolik budaya dan tradisi mewakili Malaysia. Kita akan bincangkan perkara ini dalam tajuk seterusnya.

“Logo memperkenalkan perniagaan, organisasi atau produk dalam bentuk yang paling ringkas!”…

Petikan dan terjemahan dari kata-kata Paul Rand, (1914-1996). Lagenda Rekabentuk Grafik terulung yang mereka logo IBM, Westinghouse, ABC, UPS, NeXT dan banyak lagi.

 

Ikan duyung berekor dua untuk logo Starbucks telah dipinda beberapa kali dan yang terkini adalah versi ringkas. Ia menepati saranan yang dibuat oleh Paul Rand. Logo yang ringkas bukan satu “trend” tetapi ia adalah satu keperluan.

ASAL PERKATAAN LOGO

Mengikut kamus logo bermaksud simbol, tanda atau lambang yang mewakili sebuah organisasi, produk atau perkhidmatan dalam bentuk gambar, tulisan atau gabungan keduanya.

Perkataan “logo” berasal dari perkataan “logotype” dari sudut bahasa bermaksud “kesan atau tanda huruf” (word imprint) dalam bahasa Greek. Sebab itu “logotype” juga disebut “wordmark” atau tandanama. Mengikut terjemahan dan pemahaman ini, logo yang sebenar adalah satu rekaan yang dibentuk dari huruf yang boleh dibaca. Contohnya logo Coca-Cola, IBM, CNN, Sony, Samsung, Ray-Ban, Dell, NASA dan Fed-Ex. Lambang yang tidak menggunakan huruf bukanlah logo atau “logotype” tetapi ia dipanggil simbol.

Namun, pendapat umum menerima dan menganggap setiap lambang yang direka bagi mewaliki sesuatu organisasi atau jenama adalah logo. Tidak kira ianya “logotype”, simbol atau gabungan keduanya kita panggil ia sebagai logo. Tetapi, jangan keliru dengan perkataan jenama (brand) kerana logo hanyalah sebahagian unsur penting dalam penjenamaan (branding).